Membicarakan tentang saka adalah satu perkara sensitif. Sesuatu yang
tidak nampak dan tidak mudah untuk diyakini. Masyarakat Melayu memahami
saka sebagai ilmu yang diperturunkan atau dipusakai daripada waris
teratas kepada waris di bawahnya, daripada ibu ataupun bapa kepada anak,
daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucu atau
cicitnya, ataupun ilmu yang dipusakai daripada seorang bapa saudara
kepada anak saudara atau kepada seseorang yang berada dalam lingkungan
keluarga.
Yang dimaksudkan dengan ``ilmu yang dipusakai'' itu ialah ilmu yang ada
kaitan dengan jin-jin, sama ada jin berkenaan dibela, dibuat sahabat
ataupun dibuat saudara, disedari atau tidak disedari.
Dengan perantaraan makhluk tadi, waris berkenaan berupaya melakukan
rawatan penyakit, menilik dan sebagainya dalam keadaan menurun atau
tidak menurun. Hasil daripada penglibatan makhluk ini juga waris ada
kalanya melibatkan diri dengan ilmu kebatinan mempertahankan diri,
seperti ilmu amalan wali suci, budi suci dan lain-lainnya atau ilmu
kebatinan yang dinamakan amalan al-Fatihah, silat syeikh, amalan sinar
Islam dan sebagainya.
Amalan kebatinan mempertahankan diri ini juga melibatkan ilmu kebal,
ilmu penggerun, ataupun amalan yang lebih bersifat peribadi, seperti
ilmu seri muka, ilmu kebidanan tradisional atau ilmu andaman
tradisional.
Pemilik saka yang melibatkan ilmu perbomohan ataupun dukun yang diwarisi
oleh seseorang akan membolehkan pewaris memiliki kebolehan untuk
melakukan rawatan dan sebagainya, yang berkaitan dengan ilmu kebatinan
seperti yang pernah dilakukan oleh pewaris tadi, berupaya melakukan
rawatan dalam keadaan menurun biarpun dia tidak pernah mempelajari ilmu
kebatinan yang khusus.
Dari sinilah lahirnya orang yang tidak sedarkan diri atau separuh tidak
sedarkan diri, menurun lalu melakukan rawatan, berupaya menilik sesuatu
yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan sebagainya.
Hal demikian berlaku kerana makhluk tadi meresap dalam tubuh orang
berkenaan, menguasai otak, jasad, lidah dan pergerakan lalu menggunakan
jasad manusia untuk bertindak.
Keadaan seperti ini dikenali sebagai ``menurun'' di mana makhluk halus
tadi telah menurun atau meresap dalam tubuh manusia lalu bertindak
melakukan sesuatu menurut tujuan asal makhluk ini meresap dalam tubuh
manusia.
Pelbagai natijah luar biasa (nadir) mencarik kebiasaan adat, dan tidak
dapat difikiri oleh akal punca dan sebab-musabab berlaku seperti yang
dijelaskan. Iaitu boleh melakukan rawatan, menilik benda-benda ghaib,
menjadi kebal, digeruni, mengangkat benda-benda berat dan sebagainya
yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa.
Makhluk yang berdampingan itu dalam proses masa tertentu menjadi
sebahagian daripada dampingan manusia menyebabkan orang yang seumpama
ini berupaya melakukan sesuatu yang tidak upaya dilakukan oleh manusia
biasa.
Jin atau makhluk halus yang dibela oleh manusia, pada kebiasaannya
memerlukan manusia yang biasanya terdiri daripada kaum keluarga atau
terus berdampingan dengan manusia setelah tuan yang asal tadi meninggal
dunia. Makhluk yang seperti inilah yang dinamakan saka, yang
diperturunkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya.
Penurunan saka boleh berlaku dengan sengaja atau tidak sengaja.
Dilakukan dengan sengaja apabila seseorang itu secara berterangan
menyatakan pada waris tertentu, seperti anaknya yang dia adalah orang
yang paling sesuai atau berkelayakan mewarisi ilmu pemiliknya, yang
dimiliki selama ini. Apabila orang yang berkenaan menyatakan
kesanggupannya menerima, maka bermula dari tarikh itu, dia telah
mewarisi saka tadi.
Penurunan ilmu saka juga boleh berlaku secara tidak langsung apabila
seseorang waris itu menerima barang-barang tertentu, yang pada
kebiasaannya terdiri daripada keris, lembing, ataupun tombak atau objek
lain seperti tangkal, azimat, batu geliga, akik dan sebagainya.
Objek-objek tersebut pada zahirnya merupakan benda yang dapat dipegang
dan dirasa dengan tenaga atau dilihat oleh pancaindera. Objek tersebut
hakikatnya adalah merupakan lambang, di mana di sebalik lembing atau
batu geliga atau lain-lain objek tadi terdapat jin atau jin-jin berserta
dengannya. Penurunan kaedah kedua ini biasanya berlaku setelah pewaris
meninggal dunia di mana barang-barang tadi menjadi barang peninggalan si
mati (pewaris).
Objek-objek ini, terutamanya keris pada kebiasaannya dilangiri dengan
air limau nipis pada malam-malam tertentu, seperti malam Jumaat, sebulan
sekali atau di malam Jumaat awal Muharam setiap tahun ketika bulan
penuh dan diperasapkan dengan kemenyan.
Limau nipis merupakan satu bahan penting yang sering digunakan dalam
pelbagai upacara amalan kebatinan termasuk perubatan Melayu tradisional,
untuk memutus ubat, mandi perajan, mandi membuang sial badan dan
sebagainya. Kaedah atau upacara melangiri senjata mungkin diketahui
melalui pengajaran oleh pewaris ataupun melalui mimpi.
Apabila seseorang itu menerima saka tadi, tidak kira sama ada pada
asalnya pewaris itu reda atau tidak, lalu akhirnya tunduk menerima dan
melakukan upacara atau syarat-syarat yang diajar secara langsung atau
tidak langsung termasuk ketika mimpi, makhluk tadi akan semakin rapat
dengan ``tuan'' barunya yang boleh ``diperintah'' melakukan sesuatu.
Iaitu untuk tujuan rawatan seperti yang dijelaskan. Untuk membinasakan
lawan atau orang lain dengan permintaan ``pelanggan'' yang datang
menemuinya.
Dari sinilah lahirnya pelbagai jenis amalan kebatinan seperti ilmu
pengasih, ilmu penunduk, ilmu seri muka, ilmu pemisah iaitu untuk
memisahkan antara suami isteri, ilmu pelalau iaitu ilmu menyebabkan
seseorang itu, tidak kira lelaki atau perempuan tidak mendapat jodoh
atau premis perniagaan yang tidak didatangi oleh pelanggan.
Termasuk dalam ilmu kebatinan ini ialah khidmat daripada pemilik saka
yang boleh digunakan untuk menyakiti seseorang yang boleh menyebabkan
seseorang itu tidak normal atau bertindak seperti orang yang tidak
waras, santau dan sebagainya.
Semua amalan ini termasuk dalam kategori ilmu sihir iaitu tindak-tanduk
manusia yang melibatkan jin-jin atau yang dikenali sebagai
makhluk-makhluk halus. Perlu dijelaskan bahawa amalan sihir adalah salah
satu perbuatan dosa besar yang membinasakan.
Ilmu yang diwarisi melalui saka ada dua jenis. Jenis pertama adalah
seperti yang dijelaskan di atas, yang ada kalanya boleh digunakan untuk
sesuatu yang dianggap boleh memberi manfaat, seperti untuk tujuan
rawatan, ilmu pengasih, ilmu seri muka, digunakan untuk mencari barang
hilang dan sebagainya.
Selain mencari barang hilang, saka juga boleh digunakan untuk mencuri
barang kepunyaan orang lain, seperti mencuri wang, barang kemas, pakaian
termasuk seluar dalam dan baju dalam. Terlalu banyak hadis membicarakan
tentang keupayaan jin-jin yang mencuri bahan makanan iaitu kurma di
zaman nabi s.a.w.
Selain boleh ``digunakan'' untuk tujuan yang dijelaskan, makhluk ini
juga sering menyakiti orang lain, jiran-jiran termasuk kaum keluarga
``tuan'' saka tadi, malah dalam keadaan tertentu makhluk ini boleh
menyesatkan iman si empunya diri, yang dianggap sebagai ``tuan'' tadi,
akan menyerang tuannya, terutama ketika telah uzur, sakit atau ketika
tua.
Orang Melayu yang memahami hal-hal yang berkaitan dengan saka ini sering
beranggapan bahawa makhluk ini seumpama tidak terkawal apabila
``tuannya'' meninggal dunia dan tidak ada di kalangan keluarga yang
``bersedia'' untuk mengambil alih peranan yang dimainkan oleh pewaris
selama ini.
Keadaan akan menjadi reda apabila salah seorang daripada waris sudi menjadi tuan kepada makhluk ini.
Anggapan ini ada kebenarannya, tetapi pada hakikatnya biarpun makhluk
ini mempunyai tuan baru, ia tetap menjadi masalah kepada manusia,
terutama kepada keluarga yang terlibat kerana antara tujuan utama iblis
dan syaitan itu ialah untuk menyesatkan manusia seberapa banyak yang
boleh, agar mereka dapat masuk ke neraka bersamanya.
Jenis kedua ialah saka ataupun penyakit yang diwarisi daripada seorang
pewaris kepada seorang atau beberapa orang waris akibat daripada
gangguan atau serangan iblis dan syaitan yang berlaku turun-temurun.
Bermaksud sekiranya seorang pewaris itu sakit, sakit yang sama akan
dideritai oleh warisnya.
Pada kebiasaannya, sakit yang berpunca daripada saka tidak kira sama ada
saka jenis pertama atau kedua adalah sama. Sebagai contoh, sekiranya
seseorang itu tidak boleh tidur malam, selalu termenung, berasa sakit
kepala seperti dibaji-baji lalu dia menghantuk-hantukkan kepala maka
keadaan yang sama akan dialami oleh keturunannya, atau mereka yang
diserang oleh saka tadi yang terdiri daripada kaum keluarganya.
Tidak mudah untuk memberi penjelasan bahawa seseorang itu sakit akibat
saka. Umumnya, apabila sesuatu masalah atau sakit itu dirujuk kepada
mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan, maka selalunya dikatakan
bahawa penyakit tersebut dirujuk sebagai kena buatan orang, kena sihir,
gangguan, saka dan sebagainya.
Hakikatnya masalah penyakit perlu dirujuk kepada pakar, kerana punca
penyakit itu adalah pelbagai akibat kecederaan, seperti luka, patah,
keracunan, stres, depres dan sebagainya, akibat gangguan ataupun sihir.
Punca kedua ini sukar diakui oleh pengamal perubatan moden juga,
berpunca daripada dua faktor yang dijelaskan yang berlaku serentak
kepada mangsa.
No comments:
Post a Comment